Kesemua individu berusia 18 hingga 23 tahun itu dipercayai telah bergerak aktif melakukan kegiatan tersebut sejak dua bulan lalu di sekitar Serdang, Petaling Jaya dan Brickfields.

Hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan terbabit dengan menyasarkan kedai serbaneka pada waktu tengah malam dan awal pagi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan daripada pekerja kedai serbaneka 24 jam di Taman Kinrara yang memaklumkan disamun dua lelaki memakai topi keledar dan bersenjatakan parang pada 20 Ogos lalu.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.48 tengah malam apabila suspek dikatakan mahu membeli rokok namun bertindak mengacu parang ke arah mangsa sebelum melarikan wang tunai dalam mesin wang tunai dan beberapa kotak rokok.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 50 rokok, wang tunai RM700, empat topi keledar tutup muka penuh, lapan ‘walkie-talkie’, sebuah beg galas, pistol palsu dan tiga motosikal dipercayai digunakan suspek dirampas.

“Perintah reman selama seminggu terhadap kesemua suspek tamat pada kelmarin dan disambung enam hari bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Tambah Ismadi, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE