SEBAHAGIAN basikal lajak yang ditahan dalam Op Basikal Lajak kerana menunggang secara berbahaya di sekitar Taman Berlian, Gombak hari ini.

Kesemua 11 remaja berusia 12 sehingga 15 tahun itu ditahan oleh anggota trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira pukul 4.30 petang.

Kesemua remaja yang dipercayai masih bersekolah itu dikatakan menunggang basikal lajak dengan menunjukkan pelbagai aksi di jalan raya taman tersebut.

Berikutan itu, satu operasi khas ‘op basikal lajak’ dijalankan di situ hasil maklumat orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, hasil operasi yang dijalankan, pihaknya kemudiannya telah menahan kesemua remaja terbabit sebelum membawa mereka ke Balai Polis Gombak untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, pihaknya kemudian menghubungi keluarga kesemua remaja tersebut bagi memberi penerangan dan nasihat mengenai bahayanya basikal lajak kerana cara menunggang yang merbahayakan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

“Disamping itu, basikal lajak ini juga melanggar syarat reka bentuk yg ditetapkan serta tiada langsung ciri-ciri keselamatan.

“Sehubungan itu, sebanyak 11 saman telah dikeluarkan dibawah Peraturan 42(1)a Kaedah - kaedah lalu lintas 1959 selain basikal lajak digunakan mereka ditahan dibawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Samsor memberitahu, pihaknya akan terus memantau dan akan mengambil tindakkan keatas aktiviti pengunaan basikal lajak ini.

“Justeru itu, ibu bapa disarankan agar memastikan anak-anak mereka untuk tidak menungang basikal lajak ini,” tegasnya.-UTUSAN ONLINE