Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kesemua nelayan termasuk tekong terbabit yang berusia 22 hingga 37 tahun itu ditahan pukul 9.36 pagi.

“Selain bot yang ditahan, Maritim Malaysia turut merampas 5,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan dengan anggaran RM800,000.

“Bot dan hasil rampasan bersama nelayan warga Vietnam dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman pukul 10 pagi untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

RASHIDILHADI ABD. RASHID
RASHIDILHADI ABD. RASHID 

Rashidilhadi memberitahu, hasil siasatan awal, pihaknya percaya bot terbabit menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985.

“Jika sabit kesalahan, tekong terbabit boleh didenda RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 setiap orang atau penjara sehingga dua tahun,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa memerlukan kerjasama orang ramai bagi membantu menangani sebarang aktiviti atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Zon Maritim Kemaman 09-8582825. - UTUSAN ONLINE