Kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah samun sejak Mac lalu dengan menyasarkan warga Rohingya yang berjalan atau menunggang motosikal berseorangan yang berkerja di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pasar Borong Kemunting di sini selain peniaga.

Mereka memilih waktu antara pukul 4 pagi hingga 6 pagi untuk melakukan perbuatan jenayah tersebut dengan menggunakan kekerasan fizikal bagi menakut-nakutkan mangsa sebelum melarikan wang tunai dan telefon bimbit.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua suspek berusia antara 18 tahun hingga 19 tahun itu diberkas menerusi Op Samun Pintasan pada 26 Julai lepas dalam beberapa serbuan dan tangkapan di sekitar Bukit Setongkol, Cenderawasih serta Indera Mahkota di sini.

"Polis turut merampas tiga buah motosikal dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah samun berkenaan.

"Dengan tumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 13 kes samun dan samun ragut di kawasan Jalan Pintasan Bukit Setongkol sejak Mac lalu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohamad Noor, kesemua suspek ditahan reman sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun secara berkumpulan. - UTUSAN ONLINE