berjaya merampas 104,200 liter minyak diesel sekali gus merupakan rampasan pertama dan terbesar di negeri ini tahun ini.

Selain diesel yang dipercayai diseleweng, sebuah kapal dan sebuah lori turut dirampas yang kesemuanya bernilai RM508,400.

Pengarah KPDNHEP negeri, Shaharuddin Mohd. Kia berkata, rampasan itu dilakukan dalam serbuan di jeti Sungai Kuang di sini kira-kira pukul 1 pagi semalam.

Beliau memberitahu, lima lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 30-an yang terdiri daripada empat kru kapal dan seorang pemandu lori turut ditahan dalam serbuan itu.

“ Serbuan dilakukan oleh lima anggota penguatkuasa KPDNHEP cawangan Kemaman hasil maklumat orang awam selain risikan selama tiga bulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas beliau, semasa diserbu, suspek sedang asyik melakukan pemindahan diesel dari kapal ke lori tangki yang disambung menggunakan hos saluran minyak.

Beliau seterusnya yakin urusan jual beli diesel dibuat di tengah laut antara pihak terlibat yang kemudiannya dibawa ke daratan untuk dipindahkan ke lori tangki.

“Kesemua lima suspek terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda perseorangan sebanyak RM1 juta dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Shaharuddin juga menarik perhatian, sepanjang tahun lalu KPDNHEP Terengganu telah melakukan pemeriksaan ke atas 23,552 premis dan daripada jumlah itu, 341 kes telah diambil tindakan melibatkan nilai rampasan RM830,000 serta kompaun RM44,550.

Manakala bagi hukuman mahkamah pula, tambahnya, sebanyak 30 kes telah disabit kesalahan dan didenda RM140,800. - UTUSAN ONLINE