Dalam serbuan pukul 6.45 petang itu, pasukan Unit Risik PGA Batalion 9 Kuala Terengganu turut menahan lima lelaki dalam lingkungan usia 31 hingga 43 tahun yang dipercayai terlibat dalam pengedaran bahan terlarang tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, rampasan itu membabitkan nilai berjumlah RM23,610.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu terpaksa memecahkan pintu belakang rumah berkenaan selepas kesemua suspek enggan memberikan kerjasama.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas rumah berkenaan membawa kepada penemuan bungkusan plastik mengandungi daum ketum seberat 727 kg.

“Anggota PGA Batalion 9 Kuala Terengganu terus melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipakir di tepi rumah berkenaan dan membawa kepada penemuan ketum seberat 60 kg,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Hadir sama Komander PGA Batalion 9 Kuala Terengganu Superintanden Ramly Poncho.

Abdullah memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua daum ketum itu diperoleh dari negeri utara.

Katanya, bahan terlarang itu dibawa masuk ke negeri ini untuk pasaran sekitar Pasir Mas dan dijual dengan harga RM30 untuk satu kilogram.

“Sebahagian daripada daun-daun ketum ini juga dipercayai akan diseludup ke negara jiran,” ujarnya.

Abdullah berkata, siasatan awal turut mendapati kumpulan berkenaan baharu seminggu terlibat dengan kegiatan haram tersebut.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. - UTUSAN ONLINE