Ketua Polis Daerah Kota, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada seorang saksi kejadian itu semalam bagi membantu siasatan.

“Berhubung kejadian itu kita masih lagi menjalankan siasatan dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

“Kita juga belum lagi mengambil keterangan daripada mangsa (Kamarudin) kerana keadaannya yang baru menjalani pembedahan akibat kecederaan dialaminya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian itu.

Katanya , orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menyalurkannya atau menghubungi balai polis berdekatan.

Hari ini akhbar melaporkan Kamarudin cedera parah ditetak di depan sebuah kedai kopi di Jalan Tengku Chik di sini kira-kira pukul 7.30 malam.

Beliau yang memakai jubah berwarna putih berlumuran darah akibat kecederaan serius di kepala dan di bahagian tepi serta belakang badan.

Kamarudin turut dibantu guru al-Quran untuk dihantar ke HRPZ II bagi mendapat rawatan lanjut . - UTUSAN ONLINE