Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan masih berjalan dan akan dilengkapkan dalam masa terdekat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita telah buka kira-kira 70 kertas siasatan berhubung kes terbabit, jadi perlu masa sedikit untuk betul-betul lengkapkan siasatan.

“Sebelum Hari Raya Aidilfitri, kita akan bawa kes ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus ‘Anti-Corruption Training’ untuk Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional (ONACC) Thailand, di sini hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas dikatakan hanya dikenali serta difahami penguat kuasa terbabit. - UTUSAN ONLINE