Ketua Polis Daerahnya, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, anggota polis, termasuk daripada cawangan jenayah berat telah bergegas ke lokasi terbabit setelah menerima aduan berlaku pergaduhan di situ, kira-kira pukul 7 petang pada hari tersebut.

“Pergaduhan ekoran kemalangan yang melibatkan dua orang lelaki yang menaiki motosikal telah terlanggar seorang pejalan kaki iaitu kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun. Polis telah berjaya menenangkan keadaan dengan menahan tujuh orang penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kata beliau, kesemua yang ditahan tersebut direman selama empat hari iaitu sehingga Rabu ini, kecuali dua orang di bawah umur.

“Selepas kejadian itu, polis dari pelbagai unit meningkatkan rondaan di kawasan perumahan tersebut sehingga kini. Tiada lagi kekecohan tetapi apa yang dikesalkan, isu ini timbul semula (hari ini) dengan penyebaran klip video sehingga meresahkan masyarakat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Adzli menggesa masyarakat supaya tidak lagi menyebarkan video tersebut dan menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikannya mengikut lunas undang-undang. - UTUSAN ONLINE