Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sehingga kini pihaknya masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari sebuah premis berdekatan lokasi kejadian.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan berhubung kejadian itu.

“Berkenaan dakwaan kes berpunca akibat kegiatan pengedaran dadah, buat masa ini pihak kami tidak dapat mengesahkan perkara itu namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang lelaki yang telah menukar jantina bukan sahaja ditetak di kepala dan putus lima jari malah ditembak sehingga mati dalam kejadian di Jalan Pasar.

Mangsa,K. Selamparasan, 27, ditemukan berlumuran darah oleh orang awam di kaki lima deretan kedai dalam keadaan tertiarap pada pukul 3.30 pagi.

Menurut Abdul Aziz, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.

Sementara itu, sepupu mangsa V. Reenunair, 29, ketika dihubungi memaklumkan mayat mangsa sudah dikebumikan di Karak pada pukul 2.30 petang hari ini.

“Majlis hari lahir mangsa yang dirancang sebelum ini bertukar kepada majlis pengebumian,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE