Serbuan bermula pukul 1 petang hingga 8 malam itu dijalankan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, serbuan itu menyasarkan premis kedai runcit yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian.

“Hasil serbuan terhadap sembilan premis, sebanyak tujuh individu iaitu tiga lelaki tempatan, empat warga asing dan dua wanita tempatan yang kesemuanya berusia 20 hingga 48 tahun diberkas.

“Siasatan mendapati mereka dipercayai menjadi ejen menjual tambah nilai aplikasi dipercayai untuk tujuan perjudian,” lapor Utusan Borneo hari ini.

Zulkipli berkata, pihaknya merampas pelbagai barang lain antaranya beberapa unit telefon bimbit atau tablet dan wang tunai berjumlah RM1,207.

Tambahnya, suspek dan barang rampasan telah dibawa ke JSJ IPD Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4B(a)Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak polis untuk menangani isu ini termasuk pemotongan bekalan elektrik ke atas premis-premis disyaki di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Setakat ini, sejumlah 65 premis telah diputuskan bekalan elektrik sejak Januari lalu,” katanya.- UTUSAN ONLINE