Turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang merupakan pemandu kontena tersebut.

Pemeriksaan pada pukul 12.30 tengah malam itu dijalankan sepasukan anggota kastam dari bahagian Penguatkuasaan Unit 1 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di kawasan gudang selepas menerima maklumat awam dan risikan.

Hasil imbasan melalui mesin pengimbas mendapati kontena tersebut mengandungi rokok putih jenama U2 dan minuman keras belum lulus kastam yang tidak sama dengan barang dagangan yang diikrarkan.

Ketua Penolong Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, sebanyak 22,500 karton rokok putih bernilai RM360,000 dengan nilai cukai RM3 juta serta 1,224 karton minuman keras bernilai RM70,500 dengan nilai cukai RM229,206 dirampas.

"Sindiket dipercayai membawa masuk kontena dari negara jiran dengan membuat pengikraran palsu pada manifest sebelum dipasarkan di dalam negara.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 (Akta 253) iaitu mengimport tanpa permit yang sah," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Zon Tengah Unit 1, di sini hari ini.

Zulkurnain turut menyeru orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras, dadah dan mercun dengan menghubungi talian bebas tol kastam di talian 1-800-88-8855. - UTUSAN ONLINE