Tertuduh Chong U Gene, 46, mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nabihah Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan curang memperdaya Lee Seng Hee, 64, untuk menyerahkan wang berjumlah RM440,000 sebagai bayaran deposit untuk pembelian sebuah kereta jenis Land Rover Range Rover 5.0 V8 S/C 565 SV Autobiography LWB yang disyaki tidak wujud.

Tindakan tersebut telah mendorong Seng Hee menyerahkan wang yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdaya untuk berbuat sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Jalan Yang Kalsom di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 Mac 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam, Sukhwinder Singh Sidhu dan Shassidaren Deva Sana Pathy.

Majistret Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos ini bagi sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Pada 5 Julai lalu, tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan pecah amanah dan menipu sebuah syarikat pemaju perumahan membabitkan jumlah keseluruhan RM49,000, tahun lalu.

Lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.-UTUSAN ONLINE