Siasatan itu akan dijalankan jika ia menerima maklumat boleh dipercayai berhubung perkara berkenaan

Tambahan pula, Kes MyKad dan kad pengenalan palsu djual bukan perkara baru dan jika ada mana-mana sindiket dikenal pasti SPRM akan memulakan siasatan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, setakat ini, tiada sebarang laporan rasmi diterima mereka berhubung dakwaan itu.

“Kami belum terima aduan atau sebarang maklumat, hanya daripada laporan berita,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Hari ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan dalam operasi khas pada minggu lalu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan menjual MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Akhbar itu melaporkan polis turut menahan beberapa individu dalam satu operasi sulit kerana disyaki terbabit dalam penjualan MyKad berjumlah RM350,000 kepada warga asing.

Akhbar tersebut yang memetik sumber mendedahkan, sindiket terbabit terbongkar susulan laporan Jabatan Imigresen Pulau Pinang berhubung seorang wanita China berusia 25 hingga 30 tahun yang mahu membuat pasport Malaysia menggunakan MyKad sah.

Pada 9 September lalu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu berhubung pemberian MyKad kepada warga China untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini.-UTUSAN ONLINE