Suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Kompleks Perniagaan Utama, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selepas polis menjejaki alamat pada borang penghantaran kurier yang dibuatnya di Taman Inderawasih, Perai di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, hasil pemeriksaan terhadap bungkusan yang cuba dihantar itu menemukan pelbagai jenis dadah dengan nilai kira-kira RM5,000.

Katanya, antara yang dirampas adalah satu paket hablur disyaki methamphetamine seberat 9.2 gram; satu bungkusan aluminium foil berisi 12.8 gram serbuk dipercayai ketamin dan satu paket plastik berisi 100 biji pil Erimin 5.

Tambah beliau, siasatan lanjut terhadap suspek kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Setia, Jalan Kilang Tebu, Alor Setar, Kedah Khamis lalu.

“Ketika pemeriksaan di rumah itu, suspek menyerahkan sebuah beg berisi dua keping aluminum foil mengandungi tujuh biji pil disyaki Erimin 5; satu pucuk pistol jenama ‘Smith Wesson .38 S. & W.SPL yang di dalam kelopaknya mengandungi enam butir peluru disyaki tiruan.

“Turut ditemukan sebanyak 50 biji ‘power ball’ 177 kaliber dan empat kotak yang setiap satunya mengandungi lima butir kapsul katrij gas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Nik Ros Azhan, siasatan awal mendapati suspek mengaku mendapatkan semua bekalan dadah itu daripada dua lelaki masing-masing di Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah dan di Queensbay, Bayan Lepas, di sini.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. - UTUSAN ONLINE