Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan JPJ, isu ketirisan tersebut melibatkan urusniaga pembaharuan LKM Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi yang dimanipulasikan pihak tidak bertanggung jawab untuk kegunaan di kawasan Semenanjung Malaysia.

Tambahnya, objektif Task Force ini adalah bagi mewujudkan mekanisme yang berkesan dalam menangani isu ini daripada berterusan.

“Berdasarkan Laporan Audit Dalaman Kementerian Pengangkutan dan analisis JPJ dengan mengambil kira rekod urusniaga pembaharuan LKM yang telah dijalankan, ketirisan hasil yang berlaku adalah mencecah RM50 Juta bagi tempoh urusniaga dari Januari 2019 sehingga Ogos 2019.

“Selain itu, berdasarkan kepada rekod JPJ juga mendapati lebih 50% urusniaga pembaharuan LKM yang dilakukan di Sabah, Sarawak, Pulau Labuan dan Langkawi adalah melibatkan kenderaan yang didaftarkan serta digunakan di luar kawasan wilayah tersebut,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, urusniaga pembaharuan LKM bagi semua jenis kenderaan dan kapasiti enjin adalah berjalan seperti biasa di semua pejabat JPJ dan rakan niaga yang lain.

“JPJ memandang serius perkara ini serta berusaha untuk memantapkan integriti penyampaian perkhidmatan khususnya bagi aktiviti kutipan hasil demi kebaikan masyarakat dan negara,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE