Angka bagi tujuh bulan pertama tahun ini agak membimbangkan berbanding kerugian berjumlah RM398.6 juta yang direkodkan sepanjang tahun 2018 dengan begitu banyak laporan tentang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dan kehilangan wang serta barangan berharga mereka.

Ini bukanlah tentang si bodoh yang kehilangan wang dan barangan berharga, sebaliknya tentang penjenayah bermulut manis yang licik dalam permainan mereka untuk memperdayakan mangsa yang tidak bersalah dan naif.

MCCA, ditubuhkan tahun lepas untuk menyokong hak pengguna internet di negara ini, mendapati selain ‘love scam’, penjenayah turut terlibat dalam ‘parcel scam’ mengakibatkan sesetengah mangsa kerugian antara RM200,000 dan RM1 juta untuk mendapatkan ‘hadiah mewah’ yang dijanjikan kepada mereka.

“Penipuan dalam parcel scam bermula dengan emel yang dihantar oleh warga asing yang mendakwa mempunyai keluarga di Malaysia atau bersedia untuk melawat Malaysia. Kemudian, selepas beberapa kali berbual-bual, mangsa diminta untuk menerima kiriman berisi wang atau hadiah barangan berharga,” katanya.

Penipuan ini berkait rapat dengan ‘love scam’ di mana scammers (penipu) menggunakan interaksi peribadi dan emosi untuk menerjah minda separa sedar mangsa dan meraih kepercayaan mereka.

Siraj berkata scammers ini, sebahagian besar daripada mereka warga Nigeria, cenderung untuk menjalin hubungan dengan wanita tempatan dan memperdaya mereka untuk menjadi rakan subahat bagi melakukan jenayah siber.

Masalah itu bermula beberapa hari selepas ‘kiriman diterima’ di mana mangsa akan mendapat panggilan telefon kononnya daripada jabatan kastam atau mana-mana institusi kewangan yang mendesak mangsa membayar sejumlah besar wang untuk mendapatkan kiriman itu, jika tidak, mereka perlu menanggung akibatnya.

“Mereka malah mempergunakan wanita tempatan untuk bertindak sebagai orang tengah meminta bayaran pemprosesan daripada mangsa dan menakut-nakutkan mangsa kononnya jika mereka tidak melunaskan bayaran itu, mereka akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Ditanya punca golongan profesional turut menjadi mangsa, Siraj berkata mereka kekurangan maklumat dan kesedaran mengenai scammers serta kaedah penipuan itu, selain mereka cenderung untuk menjadi pengguna tegar media sosial.

“Profesional seperti doktor dan jururawat lazimnya mempunyai kehidupan sosial yang agak kurang disebabkan jadual tugas mereka yang sibuk, justeru, mereka seringkali menggunakan media sosial untuk berkongsi perjalanan hidup seharian. Apabila kehidupan peribadi didedahkan dan mereka pula tidak banyak mengetahui tentang taktik scammers, mereka mudah menjadi sasaran,” katanya.

Sementara itu, Siraj menegaskan bukan sahaja individu terbabit yang kehilangan wang akibat jenayah siber, sebaliknya negara turut menanggung kerugian ekonomi.

“Kerugian ini disebabkan jumlah jenayah siber semakin meningkat dan angka ini boleh memberi kesan negatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

MCCA menegaskan walaupun kerajaan Malaysia serius dalam menangani masalah itu, namun ia masih jauh kebelakang dalam aspek pecegahan, termasuk pendidikan dan kesedaran.

Beliau menarik perhatian kad SIM bagi komunikasi mudah alih dan data dapat diperoleh dengan mudah di kedai serbaneka malah oleh warga asing, menyediakan akses internet mudah bagi penjenayah untuk melakukan modus operandi mereka.

Di samping itu, Siraj juga berkata undang-undang yang meliputi jenayah siber dan komunikasi serta memberi tumpuan kepada kandungan emel, perlu diperketatkan dan pengguna siber perlu didedahkan kepada sisi buruk internet menerusi pelbagai platform media.

Bagi keselamatan pengguna internet pula, Siraj berkata mereka boleh bermula dengan memadamkan sebarang emel spam yang menawarkan kiriman bernilai tinggi dan mengelak daripada berkomunikasi dengan email atau mesej yang meragukan. - BERNAMA