Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya berkata, video itu berpotensi untuk menyemarakkan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat.

Menurut suruhanjaya itu, orang ramai diminta untuk segera bertindak melaporkan kewujudan rakaman video berkenaan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Perkongsian kandungan yang bersifat jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

“Ketika ini, SKMM sedang berurusan dengan pihak penyedia platform media sosial untuk menurunkan rakaman video berkenaan daripada terus tular,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataannya di sini, hari ini.

Sementara itu, SKMM turut menggesa orang ramai supaya bertanggungjawab dalam menyebarkan atau memberi komen terhadap mana-mana kandungan di laman sosial sama ada berupa video, gambar mahupun tulisan.

Katanya, penyebaran atau sikap memberi komen ke atas kandungan yang tidah sahih bukan sahaja boleh mewujudkan kekeliruan awam tetapi juga dikhuatiri mengganggu-gugat keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum. - UTUSAN ONLINE