Mayat wanita berusia 30 tahun itu ditemukan oleh bapanya yang datang melawatnya kira-kira pukul 5.30 petang.

Difahamkan, sebaik sahaja bapa mangsa berusia 61 tahun memasuki rumah berkenaan, dia telah terhidu bau busuk yang membawa kepada penemuan mayat anaknya di atas katil di dalam biliknya.

Susulan itu, bapa mangsa terus menghubungi pihak polis kira-kira pukul 6 petang ini.

Berdasarkan keadaan mayat mangsa, dia dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam dan tiada senjata pembunuhan ditemukan di lokasi.

Ketika kejadian, anak lelaki mangsa berusia enam tahun berada di tadika berhampiran sebelum dijemput datuknya sebelum menemukan mayat mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati, identiti mangsa tersebut ialah Nor Hidayah Ahmad, 30, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pengiklanan.

Ujarnya, pihaknya kini sedang mengesan bekas suami mangsa, Zulkifli Joned, 40, berasal dari Johol, Negeri Sembilan, yang bekerja sebagai operator sebuah kilang bagi membantu siasatan.

“Difahamkan mangsa sudah bercerai dengan lelaki berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

“Motif kejadian dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika ditemuk di lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zani, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE