Modus operandi kumpulan tersebut sama, iaitu menyasarkan mangsa yang melalui jalan berkenaan pada waktu malam dan kemudiannya menggunakan batu atau bata untuk merosakkan kenderaan mangsa, sebelum cuba menyamun.

Dalam tiga kes terbaharu, kesemua mangsa yang melalui jalan tersebut menggunakan kereta telah dibaling batu pada bahagian cermin depan oleh sekumpulan lelaki bermotosikal, sebelum suspek bertindak mengejar mangsa.

KEADAAN kenderaan mangsa yang dirosakkan kumpulan penjenayah ketika melalui Jalan Bukit Rotan di Kua

KEADAAN kenderaan mangsa yang dirosakkan kumpulan penjenayah ketika melalui Jalan Bukit Rotan di Kuala Selangor. - UTUSAN ONLINE

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, sepanjang bulan ini pihaknya menerima tiga laporan cubaan samun dengan modus operandi sama dan yakin ia dilakukan kumpulan penjenayah yang sama.

Katanya, dalam kes pada Isnin lalu, pada pukul 2 pagi, mangsa cedera pada bahagian dagu kerana terkena serpihan kaca cermin keretanya yang pecah selepas dibaling batu oleh sekumpulan lelaki yang menunggang tiga buah motosikal.

“Selepas berselisih dengan dua buah motosikal dari arah bertentangan, tiba-tiba datang sebuah motosikal menaikkan lampu tinggi menyebabkan penglibatan mangsa silau sebelum mendengar dentuman pada cermin hadapan keretanya.

“Kemudiannya, mangsa mendapati cermin hadapan ya berlubang dan dagunya luka dan berdarah dipercayai terkena serpihan kaca dan objek yang dibaling,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa meneruskan perjalanan dan menerusi cermin pandang belakang, mangsa nampak ketiga-tiga buah motosikal itu mengejarnya.

“Mangsa kemudiannya mendapat rawatan di Hospital Tanjong Karang dan setelah pemeriksaan, mangsa mengalami kecederaan retak tulang rahang bawah sebelah kanan selain luka di dagu kanannya.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan Sekyen 427 Kanun yang sama kerana mendatangkan khianat pada kenderaan,” katanya.

Sebelum itu jelas Md. Asri, dua kejadian serupa turut dilaporkan melibatkan mangsa berusia 51 dan 25 tahun yang dilemparkan batu sebelum dikejar kumpulan terbabit dengan bersenjatakan parang.

Katanya, pihak polis giat mengesan kumpulan itu dan menasihatkan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan lebih berhati hati dan waspada terutama di kawasan gelap dan tidak berlampu. - UTUSAN ONLINE