Mangsa, Rosnani Samsudin,44, bekerja sebagai kerani meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dekat sini akibat mengalami melecur hampir 50 peratus termasuk muka dan tangan setelah dipindahkan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,7 Februari lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam ketika itu pengadu merupakan adik iparnya yang tinggal bersebelahan terdengar bunyi jeritan.

"Pengadu telah pergi ke rumah mangsa dan terlihat sofa terbakar selain wanita terbabit bersama abangnya terbaring dalam keadaan melecur sebelum menghantarnya kedua-duanya ke HTAR Klang bagi menerima rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa telah dipindahkan ke HKL untuk menerima rawatan lanjut manakala suaminya merupakan pemandu lori berusia 41 tahun yang melecur di tangan dan kaki hanya dirawat sebagai pesakit luar. Namun, semalam mangsa telah disahkan meninggal dunia di HKL berpunca jangkitan kuman kesan melecur terbakar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Baharudin, siasatan awal pihaknya mendapati pasangan suami isteri yang telah mendirikan rumahtangga selama 19 tahun dan mempunyai lima anak bertengkar sejak lapan tahun lalu atas alasan seperti pulang lewat kerja dan tidak mengemas rumah.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, pada malam kejadian kedua-dua mereka bertengkar dan lelaki terbabit telah mengugut mahu membakar rumah dengan petrol yang dibelinya.

"Mangsa telah merampas bekas petrol daripada tangan suaminya dan mencurah ke badannya sendiri dengan mengatakan sekiranya mahu bakar rumah, bakar dirinya sekali.

"Suspek yang berang telah memetik api dengan pemetik api dipercayai dengan niat untuk mengacah sahaja tetapi secara tiba-tiba api terus menyambar tudung mangsa dan merebak ke seluruh badan," ujarnya.

Tambah Baharudin, kes yang pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 307 dan 309 Kanun Keseksaan kini diklasifikasi di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian tanpa niat. - UTUSAN ONLINE