Siti Minah Muhammad, 32, yang baharu mendapat kerja sebagai pembantu kedai makan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa membiarkan tiga anaknya yang berusia 6, 8 dan 12 tahun tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Padang Setengge, Kuala Berang dekat sini pada pukul 10 pagi, 3 Julai lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan itu Siti Minah boleh dikenakan bon kelakuan baik dan perintah khidmat masyarakat antara 35 jam hingga 240 jam jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden Rosnah Husain manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGM), Mastura Amira Mohd. Idris.

Majistret Engku Nurul Ain membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dan menetapkan 25 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

Bagaimanapun, Siti Minah gagal membayar wang jaminan itu dan ditahan di lokap Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Khamis lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan tiga beradik berkenaan disyaki ditinggalkan bersendirian oleh ibu kandungnya di dalam sebuah rumah selama tiga hari sebelum diselamatkan seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu. - UTUSAN ONLINE