Suspek yang mendakwa dirinya warga Amerika Syarikat telah berhubung dengan mangsa yang berusia 22 melalui media sosial dan menyatakan minat untuk membeli koleksi syiling lama tersebut.

Mangsa kemudian telah diminta untuk membuat sejumlah bayaran dengan alasan untuk mengaktifkan transaksi pemindahan wang menggunakan mata wang Amerika Syarikat.

Suspek turut memberitahu mangsa bahawa wangnya akan dikembalikan selepas transaksi mengubah mata wang.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, mangsa mula menyedari ditipu selepas melakukan beberapa transaksi perbankan dalam talian hingga mencecah RM12,000.

“Mangsa kemudian telah membuat laporan polis pada Rabu lalu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE