Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu mengakibatkan guru berusia 38 tahun yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Simpang Morib, Banting tersebut berdarah di bahagian bibir dan bengkak pada hidung.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila mangsa pergi berjumpa dengan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, yang ditemani bapa saudaranya berusia 37 tahun.

Katanya, ketika pertemuan tersebut, bapa saudara pelajar perempuan tersebut yang bekerja sebagai buruh kasar dalam keadaan mabuk dan agresif.

"Namun, ketika perbincangan sedang berlaku, situasi bertukar menjadi tegang apabila remaja tersebut memarahi mangsa kerana menganggu hidupnya.

"Malah, sewaktu mangsa ingin menghubungi pihak polis, bapa saudara remaja tersebut bersama rakannya telah menumbuk mangsa di bahagian hidung sehingga berdarah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Azizan, mangsa yang terkejut dengan tindakan tersebut telah melarikan diri sebelum menghubungi pihak polis.

"Hasil siasatan awal kita menahan bapa saudara perempuan berkenaan di Taman Delima, Banting pukul 2.30 pagi semalam. Malah, suspek mengaku memukul selain membuat provokasi ugutan kepada mangsa.

"Kita telah mengenal pasti seorang lagi suspek yang terlibat dan kini sedang mengesannya. Kita percaya motif kejadian adalah akibat salah faham antara hubungan mangsa dan remaja perempuan tersebut," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun sama menyebabkan cedera.

Pada masa sama, Azizan turut menafikan dakwaan mengatakan wujud isu gangsterisme dalam kes tersebut seperti yang tular di laman sosial Facebook.

"Siasatan mendapati keterangan mangsa tidak konsisten dengan gangsterisme. Semakan juga mendapati mangsa masih menjalani rawatan psikiatri di Hospital Klang dan Banting sejak 2013," katanya. - UTUSAN ONLINE