Begitu yang boleh disifatkan terhadap seorang lelaki yang mengaut keuntungan ribuan ringgit dengan hanya berniaga senjata api tiruan melalui kumpulan WhatsApp, sejak tiga tahun lalu.

Lebih mudah, dia hanya menggunakan khidmat kurier untuk membuat penghantaran senjata api berharga antara RM100 hingga RM2,000, yang ditempah mana-mana pelanggannya.

Itu modus operandi seorang penganggur di sini, yang dikatakan menjadi ejen kepada satu sindiket menjual senjata api tiruan dari Thailand.

Bagaimanapun, kegiatan suspek berusia 29 tahun itu terbongkar selepas ditahan sepasukan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sebuah rumah di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit di sini, Rabu lalu.

Dalam serbuan tersebut, sebanyak 213 pucuk pistol; 17 laras senapang; 164 biji peluru; 36 botol gas; dua pasang gari dan beberapa aksesori atau komponen senjata api lain yang dianggarkan bernilai RM70,000 ditemukan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, kesemua barangan tersebut ditemukan di dalam bilik suspek yang disyaki diseludup dari Thailand.

“Siasatan mendapati suspek yang merupakan bapa kepada seorang anak itu menjual semua jenis senjata api melalui satu kumpulan WhatsApp dan membuat penghantaran menggunakan khidmat kurier.

“Suspek dipercayai menjual senjata api tiruan ini kepada pelanggan yang dikenali sahaja.

“Lelaki terbabit disyaki berperanan sebagai ejen kepada satu sindiket menjual senjata api tiruan manakala kegiatan penyeludupan masuk (senjata api) dilakukan pihak lain disyaki warga Thailand,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Muhamad Halim, pihaknya percaya senjata api tiruan ini diseludup melalui laluan sah sedikit demi sedikit dari sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar dan Wang Kelian.

Malah kata beliau, suspek juga mendakwa menerima bekalan senjata api berkenaan tiga kali seminggu.

“Kita sedang mengesan pihak lain yang terlibat dalam sindiket menjual senjata api tersebut termasuk pelanggan.

“Kita akan menyiasat daripada semua sudut kerana bimbang senjata api tiruan ini dibeli individu yang mahu melakukan jenayah memandangkan senjata yang dirampas ini menyerupai senjata asli,” katanya.

Kata Muhamad Halim lagi, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga tahun lalu kerana dia pernah ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 2016 kerana cuba menyeludup senjata api tiruan.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki dan mengimport senjata tiruan dan Seksyen 89 Akta Polis 1957 kerana memiliki, menjual atau membekalkan secara haram peralatan polis tanpa kebenaran,” katanya.- UTUSAN ONLINE