Kegiatan kumpulan penjenayah itu yang dipercayai mula beroperasi sejak enam bulan lalu aktif di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan menyebabkan kerugian yang dialami mangsa sebanyak kira-kira RM900,000.

Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 54 tahun ditahan dalam beberapa serbuan di negeri ini susulan penangkapan dalangnya yang dikenali sebagai Surya yang ditangkap di Ayer Keroh di sini pada 4.30 petang pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintenden Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, susulan penangkapan itu pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 30 kes samun di rumah pengantin iaitu 26 kes di Melaka dan empat kes di Negeri Sembilan.

“Polis menahan kesemua suspek termasuk dalang yang kemudian membawa kepada penangkapan tujuh ahli kumpulan itu termasuk individu melebur dan membentuk rekaan baru bagi tujuan gadai atau jual semula.

“Berdasarkan soal siasat yang dilakukan, kita percaya terdapat beberapa lagi individu lain yang terlibat dalam kegiatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar kejayaan Op Bridal di di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Turut dirampas, tiga patung emas, pelbagai barang kemas dari kedai emas dan pajak gadai, telefon bimbit, lima unit televisyen, komputer riba, surat pajak gadai, jam tangan dan peralatan pecah rumah serta emas yang telah dileburkan. - UTUSAN ONLINE