Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berjaya ditahan selepas polis mengejar sebuah kereta jenis Proton Wira di Mak Mandin, Butterworworth di sini yang membawa dua ekor lembu curi kira-kira pukul 4.15 pagi pada Ahad lalu.

“Kereta dinaiki tiga suspek lelaki ini kemudiannya berjaya ditahan di Kampung Seberang Sungai Keladi, Kulim, Kedah.

“Di lokasi ini polis berjaya menangkap seorang suspek berusia 33 tahun yang dipercayai dalang utama geng berkenaan manakala dua lagi meloloskan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan penangkapan suspek pertama, suspek kedua berusia 26 tahun ditahan di Jalan Tanjung Piandang, Perak pada Selasa lalu manakala seorang lagi suspek masih diburu.

“Siasatan mendapati suspek yang juga positif dadah disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes curi lembu.

“Mereka didapati menjual lembu curi pada harga di antara RM500 hingga RM1,000 seekor,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan alat menyumpit dengan ubat pelali dari Thailand untuk menangkap lembu.

“Mereka akan menyumpit lembu tersebut pada waktu malam dan seterusnya menggunakan alat renjatan sebelum menyumbat lembu ke dalam kereta.

“Polis turut merampas alat perenjat elektrik, pemotong besi, sebotol ubat pelali, lima batang jarum suntikan yang diubah suai dan sebuah kereta Proton Wira daripada suspek,” katanya.

Noorzainy berkata, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau diserahkan kepada pihak IPD Kulim untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 379 kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,”katanya. - UTUSAN ONLINE