Dalam serbuan kira-kira pukul 5 pagi, empat lelaki dalam lingkungan umur 20 hingga 35 tahun dari Geng Apu Boy, berjaya ditangkap sebaik sahaja mereka selesai merompak sebuah kediaman di Taman Kledang di sini pada 16 Jun lalu.

Bertindak atas maklumat yang diperoleh, dua lelaki dari Geng Usop pula dicekup pada hari sama selepas terlibat dalam kejadian pecah masuk di kedai cuci kereta di sini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya kini masih mengesan dua lagi individu yang masing-masing dipercayai menjadi dalang utama kepada Geng Apu Boy dan Geng Usop.

Beliau berkata, dua individu tersebut dikenali sebagai S. Ravisankar, 36 (Geng Apu Boy) dan Mohd. Yusof Halim, 27 (Geng Usop).

“Pada bulan Januari hingga Jun 2019, pihak polis menerima 32 laporan berkaitan kejadian pecah rumah.

“Modus operasinya mudah, mereka hanya mengumpil pintu atau ruang tingkap yang boleh dimasuki untuk mengambil barang-barang pada lewat malam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput sini hari ini.

Mohd Khaizam berkata, dua geng tersebut dipercayai telah aktif menjalankan kegiatan jenayah itu sejak tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua ahli geng berkenaan memiliki rekod lampau, malahan ada yang telah menjalani hukuman dan kembali melakukan jenayah.

“Sehubungan itu, kita meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu dengan menghubungi IPD Sungai Siput di talian 05-5982222,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE