Hakim Ahmad Bazli Baharuddin membuat keputusan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan lucuthak yang dikemukakan Maritim Malaysia.

Pemangku Pengarah Maritim Malaysia negeri, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, empat daripada sembilan buah bot yang dilucuthak dituduh di bawah seksyen 15 (1) (a), Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia.

Menurutnya, tekong untuk setiap bot didenda RM90,000 atau lapan bulan penjara sementara awak-awak didenda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

“Pertuduhan ini melibatkan seramai 36 orang awak-awak termasuk tekong. Lima buah bot yang dilucuthak lagi dituduh di bawah seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal untuk memaklumkan pihak berkuasa Malaysia semasa melalui perairan Malaysia.

“Tekong untuk setiap lima bot ini telah didenda RM150,000 atau lapan bulan penjara,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini petang semalam.

Ismail berkata, kejayaan Maritim Malaysia dalam pertuduhan di mahkamah menunjukkan betapa serius usaha menangani masalah kehadiran bot nelayan asing Vietnam di perairan negara.

Maritim Malaysia diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mustaffa, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE