Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sehubungan itu, pihaknya akan membantu menyalurkan segala maklumat yang diperlukan SPRM.

“Kami komited dalam menjalankan tadbir urus yang baik.Ia merupakan sebahagian pelan transformasi untuk memberi fokus terhadap masalah dan memulihkan operasi serta mengembalikan integriti.

“Kami akan menerapkan nilai-nilai yang baik di semua peringkat menerusi amalan ketelusan, integriti dan kelakuan beretika,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas penahanan suspek berusia 51 tahun semalam oleh SPRM Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah restoran di Taman Prima Saujana, Kajang.

Pegawai terbabit dipercayai menerima bayaran berkenaan sebagai dorongan untuk mengesyorkan perlanjutan kontrak sebuah syarikat perkhidmatan bagi kerja pengauditan persijilan antarabangsa untuk kilang sawit di bawah kelolaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbabit. - UTUSAN ONLINE