Ketika kejadian pada pukul 9 malam itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak itu didakwa menyerang seorang jurulatih tinju bersama sekumpulan lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila suspek telah terserempak dengan mangsa sebelum menolak mukanya.

“Akibat kejadian tersebut, berlaku sedikit kekecohan dan pihak pengurusan kompleks telah meminta kedua-dua mereka beredar dari kawasan terbabit.

“Namun, sebaik sahaja mangsa ke tempat letak motosikal di luar kompleks sukan berkenaan, dia kemudian diserang 10 lelaki menggunakan topi keledar, pisau dan kerusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzil memberitahu, tiga rakan mangsa yang berada bersamanya ketika kejadian cuba untuk menghalang serangan tersebut dari berlaku namun gagal.

“Mangsa mengalami koyakan di tisu pinggang, luka di anggota badan dan sakit pada bahagian kemaluan.

“Ekoran kejadian ini, polis meminta suspek yang dikenali sebagai Farhash Wafa Salvador, 37 tahun, untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE