Farhash, 37, yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan selepas menyerah diri di IPD Ampang Jaya kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Difahamkan, Farhash ditahan selepas menjadi suspek utama bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan dan mencederakan seorang jurulatih tinju berusia 29 tahun dengan topi keledar, pisau dan kerusi pada 31 Ogos lalu.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan 12 lelaki ketika berada di luar kompleks pusat sukan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek telah memberikan kerjasama kepada pihaknya untuk melengkapkan siasatan.

“Kita turut menjalankan ujian saringan awal air kencing dan mendapati suspek bebas daripada penggunaan sebarang jenis dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut. - UTUSAN ONLINE