Sebelum ini semua suspek berusia 17 tahun ditahan di sekitar kampung di Tanah Merah pada malam hingga awal pagi jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mereka disambung reman bagi menjalankan siasatan terperinci mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

“Kita sambung reman sehingga esok bagi menjalankan siasatan terperinci sebelum tuduh di mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azmi berkata, mereka sebelum ini ditahan reman selama tiga hari bermula Jumaat.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis menahan empat remaja perempuan berhubung kes video tular perbuatan biadab memijak al-Quran di Kampung Gobek Gual Ipoh, Tanah Merah.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di bahu jalan, berdekatan dengan jambatan Kusial Lama, Tanah Merah pada pukul 2.30 petang, 13 Julai lalu.

Sebelum ini seorang suri rumah berusia 20 tahun dilaporkan melihat telefon bimbitnya dan mendapati satu video memaparkan adik perempuannya sendiri memijak Al-Quran, kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.

Selepas suri rumah itu bertanya adiknya yang berusia 17 tahun, remaja itu memberitahu telah dipaksa oleh rakan perempuannya.

Gara-gara bimbang keselamatan diri, dia mendakwa terpaksa melakukannya dan klip rakaman video dia bertindak demikian kemudian tular di media sosial sejak semalam. - UTUSAN ONLINE