Kesemua suspek berusia 19 hingga 32 tahun itu ditahan di lokasi berasingan sekitar Bintulu dalam operasi bermula pukul 2 hingga 4 petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan yang dilakukan turut menemukan empat unit telefon pintar dan dua parang panjang dipercayai digunakan suspek untuk merompak. 

”Kejadian berlaku apabila dua wanita berusia 32 tahun didatangi empat suspek yang bersenjatakan parang di Jalan Tun Hussein Onn kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam.

 

"Kedua-dua mangsa yang berasa ketakutan telah menyerahkan dua unit telefon bimbit milik mereka sebelum kesemua suspek melarikan diri," lapor Utusan Borneo hari ini.

Zulkipli berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu hari ini bagi mendapatkan permohonan perintah reman. 

Kesemua suspek katanya akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabit kesalahan.-UTUSAN ONLINE