Kesemua lelaki itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berdasarkan risikan dan maklumat awam.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Razlam Ab. Hamid berkata, dalam serbuan di Batu Kurau pada pukul 1 pagi kelmarin yang melibatkan suspek dua beradik berusia 39 dan 46 tahun, pihaknya menemukan dadah jenis heroin seberat 2.9 kilogaram.

Katanya, kesemua dadah yang dibungkus dalam lapan paket plastik lutsinar itu telah dijumpai di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

“Semasa serbuan dilakukan, suspek berusia 39 tahun itu ditahan ketika berada di ruang tamu manakala abangnya pula di dalam bilik pertama rumah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menjumpai satu plastik hitam yang di dalamnya berisi tujuh paket plastik lutsinar dadah jenis heroin dan satu beg celoreng yang mengandungi satu paket dadah. Jumlah keseluruhan rampasan itu sebanyak 2,945.60 gram yang dianggarkan bernilai RM45, 000,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Taiping di sini hari ini.

Menurut Razlam, dalam tangkapan terdahulu pada Khamis lalu, pihaknya telah menangkap dua lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun bersama ganja di sebuah rumah di Kamunting.

Katanya, ganja itu ditemui setelah pemeriksaan dilakukan di sebuah bilik di mana terdapat dua bekas plastik berwarna putih yang di dalamnya berisi dua ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 352 gram bernilai RM1, 400 selain plastik kosong, gunting dan alat penimbang digital.

“Ujian air kencing terhadap keempat-empat tangkapan lelaki ini didapati positif dadah. Kesemua mereka yang mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - UTUSAN ONLINE