Ketua Polis Negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, pihaknya turut menahan enam lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati mangsa yang parah itu bukan rakyat Britian seperti didakwa kerana dia tidak memiliki pasport.

“Tiga lagi warga asing yang diitahan itu juga tidak memiliki pasport namun berdasarkan pengakuan mereka mendakwa sebagai rakyat Britian namun tiada bukti, jadi polis akan semak dengan Jabatan Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan risalah pencegahan jenayah kepada pelancong di Terminal Kapal Swettenham Pier sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi di hadapan sebuah restoran di Jalan Penang di sini, kesemua suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol berlawan sesama sendiri sebelum salah seorang lelaki tempatan mengambil pisau pemotong kertas dari dalam keretanya dan menyerang mangsa berusia 38 tahun.

Mengulas lanjut, Thaiveegan berkata, kesemua mereka akan direman sehingga 28 Mei ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, berdasarkan statistik, seseramai dua juta pelancong telah melawat pusat bandar ini sepanjang tahun lepas manakala sehingga bulan April tahun ini, angka itu telah mencapai 500,000 orang.

“Oleh itu, polis telah menempatkan anggota di kawasan tumpuan pelancong bagi tugas ketenteraman awam. Pada masa sama, saya menasihatkan pelancong asing supaya menghormati undang -undnag negara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE