Difahamkan, pemandu bas berusia 58 tahun yang membawa sebanyak 33 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Dato Mohd Musa dan tujuh dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan itu disyaki mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik , Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi apabila bas sekolah dari Kem Tentera Muara Tuang itu dalam perjalanan menghantar 33 pelajar.

Menurutnya, bagaimanapun, ketika sedang menurunkan pelajar, pemandu tersebut tidak menyedari terdapat penumpang tidak turun dari bas dan terus menuju ke Jalan Mambong.

“Apabila tiba di Bulatan Medan Universiti, empat pelajar bertindak terjun untuk menyelamatkan diri selepas melihat keadaan pemandu yang membawa bas tersebut disyaki sedang khayal.

“Pemandu bas hanya memberhentikan bas selepas ditahan oleh beberapa pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Alexson, pemandu bas bukan anggota tentera namun bas tersebut disewa untuk tujuan menghantar anak-anak tentera ke sekolah.

“Dia (pemandu) kini ditahan untuk siasatan lanjut dan darahnya juga akan diambil untuk tujuan pemeriksaan dadah dan kandungan alkohol.

“Siasatan lanjut ke masih dijalankan di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-UTUSAN ONLINE