Tertuduh, Azami Mohamad, 45, yang merupakan bapa kepada tiga anak hanya tersenyum sambil sesekali menoleh ke arah ibu-bapanya sewaktu Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz membuat keputusan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketika hukuman dijatuhkan, Zainal Azman berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua keterangan yang telah direkodkan dan ia jelas menunjukkan tertuduh memang berniat untuk membunuh mangsa selain kegagalan pihak pembela menimbulkan keraguan munasabah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Azami dituduh membunuh Rohadi Zakaria, 49, di jalan raya di Kampung Jelapang, Sungai Tong di Setiu pukul 6 petang, 2 Oktober 2014.

Pada masa sama, tertuduh juga menghadapi dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Bagi pertuduhan kedua, Azami yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa cuba membunuh Zakaria Taib, 48, dengan melanggar mangsa menggunakan kereta jenis Proton Gen 2 pada waktu serta tempat yang sama.

Manakala pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa membuat laporan palsu di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Permaisuri, Setiu pukul 6.29 petang, 2 Oktober 2014 dengan mendakwa dia yang ditahan oleh dua mangsa menggunakan parang serta terlanggar mangsa ketika cuba mengelak.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing 10 tahun dan enam bulan serentak dengan tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Harshaan Zamani.

Berdasarkan laporan akhbar sebelum ini, seorang lelaki bertindak melanggar dua rakannya dengan sebuah kereta menyebabkan mangsa meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah dalam kejadian yang dikatakan berpunca daripada perselisihan faham berkaitan penjualan lembu. - UTUSAN ONLINE