Dalam kejadian pada pukul 6 petang, seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi ketika dirawat masing-masing berusia antara 60 hingga 70 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian pertama, mangsa yang berusia 70-an sedang minum di sebuah kedai sebelum didatangi seorang lelaki berusia 33 tahun dengan menaiki sebuah motosikal Modenas.

SEORANG warga emas yang sedang minum kopi maut selepas ditetak seorang pemuda
SEORANG warga emas yang sedang minum kopi maut selepas ditetak seorang pemuda dengan menggunakan parang di sebuah restoran di Buloh Kasap, Segamat, Johor, petang tadi. - UTUSAN ONLINE

“Suspek terus menyerang dan menetak mangsa pada bahagian muka dan badan sebelum suspek meninggalkan mangsa berlumuran darah.

“Sepuluh minit kemudian suspek berlari menuju ke sebuah gerai durian terletak kira-kira 200 meter dari kedai makan lalu menyerang seorang peniaga durian berusia 60-an,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Noor Ariffin berkata, mangsa pertama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa kedua pula maut ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Buloh Kasap selepas ditikam menggunakan parang.

Jelasnya, suspek berjaya ditahan sepasukan polis selepas menerima laporan kejadian itu dan sebilah parang 0.6 meter ditemukan bersama-sama suspek yang juga warga tempatan.

Menurut beliau, motif sebenar kejadian masih disiasat dan suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saksi kejadian diminta menghubungi talian Hot Line Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9324222 bagi membantu siasatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE