Pengarahnya, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, dua warga asing dari Bangladesh dan Myanmar itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada 28 April lalu.

Beliau berkata, antara gejala yang dialami oleh mereka ialah kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar.

“Kedua-dua kes didapati mempunyai sejarah minum minuman beralkohol sebelum mengalami gejala.

“Kedua-dua kes itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal semasa dimasukkan ke hospital dan telah meninggal dunia pada awal pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Lay Ming, sampel klinikal daripada kedua-dua kes berkenaan telah dihantar ke makmal untuk pengesanan metanol, namun keputusannya masih belum diterima.

Sehubungan itu katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sementara survelan minuman beralkohol di pasaran juga akan dipertingkat.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada pengambilan minuman beralkohol tiruan. Keracunan metanol boleh menyebabkan gejala sakit perut, sesak nafas, kabur penglihatan, loya, muntah, pening atau sakit kepala yang teruk serta kekejangan kaki.

“Sekiranya terdapat individu yang mengalami mana-mana gejala tersebut selepas pengambilan minuman beralkohol, sila bawa ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan dengan segera,” katanya. - UTUSAN ONLINE