Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, remaja berusia 14 tahun berkenaan mengalami patah pinggang dan kaki selepas bertindak terjun bersama teman lelakinya dari aras tiga tempat parkir tersebut.

Teman lelakinya yang berusia 18 tahun pula hanya mendapat kecederaan ringan dan sakit di bahagian pinggang kerana terjatuh di atas pokok selepas turut terjun dari tempat parkir itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, hasil siasatan di tempat kejadian dan temu bual mangsa mendapati kedua-duanya tergelincir dan terjatuh semasa meniti di tepi tembok bangunan tempat parkir tersebut.

“Kedua-duanya cuba untuk keluar dari kawasan itu kerana pintu di dalam bangunan tersebut telah dikunci oleh pengawal keselamatan.

“Kedua-dua mangsa terlalu takut aktiviti tidak sihat mereka diketahui keluarga kerana remaja perempuan ini baru berusia 14 tahun, maka mereka mengambil keputusan untuk terjun,” katanya di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani rawatan. - UTUSAN ONLINE