Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun dengan enam rekod lampau kebanyakannya berkaitan pecah rumah itu bersama rakan wanitanya yang berumur 35 tahun ditahan di belakang sebuah rumah kira-kira pukul 5.40 petang.

Katanya, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah di Jertih.

“Polis merampas barang kes yang ada pada suspek dan turut membawa kepada penemuan beberapa barangan kes lain.

“Antara yang dirampas ialah lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, seunit televisyen (TV) LED, powerbank (tiga) serta sembilan jam tangan berjenama antaranya Dior, Gucci, Calvin Klein, Daniel Wellington dan Rado,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zamri, turut dirampas ialah 12 bentuk cincin pelbagai jenis dan 10 utas gelang tangan.

Katanya, pemeriksaan air kencing mendapati kedua-dua yang berasal dari Bachok dan Machang di Kelantan itu positif dadah dengan wanita berkenaan turut mempunyai tiga rekod lampau.

Difahamkan, modus operandi suspek ialah memecah masuk rumah mangsa pada waktu awal pagi ketika tuan rumah tidur manakala barangan yang dicuri kemudiannya dijual kepada pihak-pihak tertentu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. - UTUSAN ONLINE