Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika mangsa yang sedang berjalan kaki seorang diri sebelum dihampiri dua suspek berusia 18 dan 21 tahun dengan menggunakan sebuah motosikal.

Kedua-dua suspek kemudian telah bertindak mengambil telefon bimbit mangsa yang juga seorang buruh binaan.

Mereka kemudian melarikan diri dengan menggunakan motosikal sebelum terserempak dengan polis yang melakukan rondaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah.

“Suspek berusia 21 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan ketum, samun dan pecah rumah.

“Selain tangkapan, kita juga merampas telefon bimbit mangsa yang dicuri dan motosikal yang digunakan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan. - UTUSAN ONLINE