Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, kedua-dua suspek terbabit berusia 34 dan 40 tahun ditahan hasil maklumat mangsa yang membuat laporan polis dan suspek kini direman bagi membantu siasatan.

Menurutnya, ketika kejadian pada pukul 3 petang kelmarin, semasa berada di sebuah pusat beli belah di Kuching, mangsa yang merupakan seorang peniaga berusia 31 tahun mendapat maklumat rumahnya dimasuki pencuri.

Dedahnya, setiba di rumah mangsa mendapati pintu pagar rumah telah dirosakkan secara paksa dan keadaan bilik berselerak.

“Setelah membuat pemeriksaan mangsa mendapati duit syiling dan peralatan solek milik teman wanitanya telah dicuri.

“Mangsa membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki yang tidak dikenali telah memasuki rumahnya menggunakan sebuah kereta berwarna putih,” katanya memetik Utusan Borneo hari ini.

Awang Din memberitahu, gambar rakaman CCTV tersebut dikongsikan bersama dalam aplikasi WeChat kumpulan Komuniti Kepolisian Stapok dan selepas itu mangsa dimaklumkan kenderaan tersebut berada di kawasan Stapok.

“Mangsa pergi ke kawasan tersebut dan mengekori sehingga 10 ahli Komuniti Kepolisian tiba dan berjaya menangkap dua suspek manakala dua lagi rakan jenayah mereka berjaya melarikan diri,” jelasnya.

Jelasnya lagi, kerugian yang dialami adalah sebanyak RM600 termasuk nilai kerosakan rumah mangsa.

Selain itu, katanya, barangan yang berada dalam jagaan suspek dirampas termasuk kenderaan yang dinaiki.

“Semakan rekod mendapati kenderaan tersebut dilaporkan hilang sebagaimana dilaporkan di Balai Kota Sentosa,” tambahnya.

Dalam pada itu, Awang Din memberitahu, pada 7 September lalu sekitar pukul 2 petang, suspek juga disyaki cuba untuk melakukan pecah rumah di kawasan Poh Kwong Park Kuching tetapi tidak berjaya kerana pemilik rumah menjerit setelah menyedari kehadiran suspek.

Menurutnya, pemilik rumah tersebut juga memberikan maklumat bahawa suspek melarikan diri menggunakan kenderaan berwarna putih.

“Semakan rekod terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka mempunyai banyak rekod berkaitan kes dadah di kawasan Kuching dan Padawan serta salah seorang juga mempunyai rekod kesalahan mencuri.

“Siasatan masih lagi dijalankan terhadap kedua-dua suspek sama ada terlibat dengan lain-lain kes pecah rumah dan curi,” ujarnya sambil menambah, kedua-dua suspek ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE