Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota polis yang membuat rondaan di perairan tersebut telah mengesan dua buah bot dalam keadaan mencurigakan.

Berikutan itu, anggota polis terlibat kemudiannya membuat pintasan dalam keadaan lampu biru dinyalakan dan siren dibunyikan sebelum suspek secara tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah bot pasukan keselamatan.

Bagi tujuan mempertahankan diri, anggota polis tersebut kemudiannya turut melepaskan beberapa tembakan dan menyebabkan sebelum sebuah bot melarikan diri ke perairan Filipina.

Setelah keadaan reda, pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah lagi bot menemukan dua lelaki yang maut akibat terkena tembakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, identiti kedua-dua lelaki berusia antara 30-40an itu belum dapat dikenali pasti.

Ujarnya, selaras senjata api jenis Garanad bersama satu kelopak, dua butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru turut dirampas.

“Kita tidak menolak kemungkinan mereka anggota penjenayah yang cuba mengesan mangsa untuk diculik atau mahu membuat tindakan keganasan.

“Selain itu, cap jari kedua-dua mayat itu telah diambil untuk mengesan identiti mereka sama ada mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli kumpulan penculik untuk mendapatkan wang tebusan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Omar memberitahu, mayat kedua-dua lelaki itu dan sebuah bot serta enjin telah dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk siasatan lanjut,.

Jelasnya,pihaknya sentiasa siapa sedia dan menjalankan rondaan rapi sekitar perairan timur negeri ini bagi mengelak insiden pencerobohan khususnya jenayah culik.- BERNAMA