Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, suspek berusia 46 dan 48 tahun yang disyaki pengedar dadah itu ditahan selepas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan kereta yang dinaiki mereka kira-kira pukul 4 pagi.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua suspek dikatakan sedang menunggu pembeli di kawasan tersebut.

"Hasil tindakan pantas kita berjaya menahan suspek dan pemeriksaan dalam kereta menemukan serbuk kristal disyaki syabu.

"Dadad ini dikatakan diperoleh dari negara jiran untuk diedarkan di kawasan sekitar ini," katanya dalam sidang akhbar di IPD di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 9 Ogos mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

"Ujian saringan terhadap suspek yang berasal Johor dan Kuala Lumpur juga positif dadah jenis Methaphetamine," katanya.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya telah merampas dadah bernila lebih RM1 juta dari Januari sehingga Jun tahun ini berbanding RM299,353 dalam tempoh yang sama 2018.

"Sebanyak 2,847 kes dicatatkan dengan jumlah tangkapan seramai 3,421 dalam tempoh tersebut berbanding 2,109 kes dengan tangkapan 2,650 kes pada tahun sebelumya," katanya. - UTUSAN ONLINE