Serbuan bermula pukul 10 malam itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian siasatan Jenayah Narkotik dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Serdang selepas membuat intipan dan risikan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Mohd. Rosdi Daud berkata, ketika serbuan, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai dalam proses melakukan transaksi jualan dadah.

"Pada awalnya, pasukan mengesan kereta Perodua Myvi dinaiki dua suspek sebelum seorang daripada mereka berjalan memasuki sebuah premis manakala pemandu beredar meninggalkan lokasi.

"Kita kemudian menahan suspek namun ketika cuba ditahan, suspek bertindak agresif menyebabkan berlaku pergelutan manakala rakannya yang memandu kereta ditahan di sebuah stesen minyak berhampiran kira-kira 30 minit kemudian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.

Mohd. Rosdi memaklumkan, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan lima peket plastik berisi kristal disyaki syabu dalam beg galas suspek dianggarkan bernilai RM255,000

"Berdasarkan soal siasat, suspek memperoleh bekalan dadah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sebelum memasarkan dadah kepada pengedar lain di Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah membabitkan kes dadah. Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya. - UTUSAN ONLINE