Dalam Ops Tapis yang dijalankan di Kampung Baru Padang Menora, seorang suspek berusia 40 tahun ditahan pada pukul 7 malam manakala seorang lagi lelaki berusia 44 tahun ditahan di Kampung Labu Banting kira-kira pukul 7.30 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, turut dijumpai bersama-sama kedua suspek yang bekerja sebagai buruh itu adalah sejumlah dadah yang dipercayai untuk kegunaan sendiri.

“Pihak polis menjumpai dadah jenis heroin seberat 46 gram bernilai RM2,300 berada dalam simpanan suspek berusia 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan fizikal pada suspek berusia 40 tahun pula, polis telah menjumpai sebanyak 17 gram disyaki dadah jenis heroin dan sebanyak 0.8 gram dadah dadah jenis syabu bernilai RM1,000,” katanya hari ini.

Menurut Noorzainy, ujian air kencing kedua-dua suspek berkenaan didapati positif dadah dan mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - UTUSAN ONLINE