Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, suspek berusia 54 tahun yang menaiki sebuah motosikal bertindak menikam bahagian perut seorang pengunjung lelaki berumur 40 tahun dengan menggunakan sebilah pisau kerana mempunyai hubungan dengan bekas kekasih suspek.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Che Zaimani Che Awang berkata, pemilik pusat hiburan berusia 46 tahun yang cuba menahan suspek turut ditikam di bahagian tangan kanan sebelum suspek melarikan diri dengan motosikal.

"Mangsa pertama mengalami kecederaan di perut manakala pemilik pusat hiburan berkenaan pula cedera di tangan.

"Kedua-dua mangsa yang cedera ini telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, susulan kejadian itu, polis menyerbu sebuah pondok di Hong Seng Estate, Pulau Tikus di sini pada pukul 6 pagi hari dan berjaya menahan suspek.

"Polis telah merekodkan keterangan bekas teman wanita suspek dan dia memaklumkan mereka telah berpisah sejak lebih sebulan lalu kerana perselisihan faham.

"Wanita tersebut turut memaklumkan bekas teman lelakinya merupakan rakan kongsi dalam perniagaan sebuah kedai makan dan mereka tinggal bersama sejak enam tahun lalu," katanya.

Che Zaimani berkata, wanita berkenaan percaya suspek bertindak menikam teman lelakinya kerana cemburu dan marah.

"Suspek yang sudah berkahwin ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya. - UTUSAN ONLINE