Pengarah Sistem Pengawasan Maritim Laut (Swasla), Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, dua kawasan panas itu ialah perairan Pulau Jarak dan Kuala Kurau yang sering berlaku kes bot nelayan tempatan ditarik oleh pihak penguatkuasa negara jiran ke perairan negara mereka sebelum ditahan.

Menurutnya, kawasan barat daya Pulau Jarak dan sepanjang kira-kira 40 batu nautika dari Kuala Kurau itu sering menjadi lokasi tumpuan nelayan tempatan kerana terdapat hasil laut yang banyak.

“Selain itu, nelayan asing juga sering menangkap ikan di kawasan tersebut, jadi, nelayan tempatan harus memaklumkan kepada kami sekiranya nelayan asing menceroboh perairan negara.

"Kita juga menasihatkan supaya nelayan tempatan berhati-hati apabila berada di kawasan yang sangat luas itu walaupun kita sentiasa membuat rondaan 24 jam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri Perak Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Wan Mat dilantik sebagai Pengarah Sistem Pengawasan Maritim Laut (Swasla) menggantikan Komander Maritim Khoo Teng Chuan yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Swasla.

Manakala Timbalan Pengarah Operasi Maritim, Komander Maritim Shahrizan Raman dilantik sebagai pemangku Pengarah Maritim negeri Perak.

Majlis serah terima tugas disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim, Datuk Tan Kok Wee.

Dalam pada itu, Wan Mat berkata, pihaknya sentiasa dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan agensi lain bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku di dua kawasan panas itu.

"Nelayan tempatan perlu memaklumkan kepada kami sekiranya mahu ke kawasan tersebut untuk memudahkan kami melindungi mereka dengan lebih cepat sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini," katanya. - UTUSAN ONLINE